Thursday, October 8, 2015

Siapkan Tempahan

Teks: Aishah Zainun
Foto: Aishah Zainun


Assalamualaikum. Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Bersyukur masih lagi dapat menghirup oksigen pada hari ini. Senyum. Senyum itu sedekah.

 
Hari ini saya dapat tempahan kraftangan felt dari adik ipar. Dia akan membuka satu gerai di sebuah sekolah agama sempena peperiksaan kemasukan tingkatan satu bagi tahun 2016.

 
Tak banyak yang dapat saya hasilkan kerana kesuntukan masa. Tiga hari sebelum buka gerai adik ipar wassap saya bagitau nak buat tempahan. Jadi di antara kraftangan yang saya sempat hasilkan ialah:-
 

-          rantai kunci bentuk hati berbagai corak

-          handphone strap bentuk hati

-          rantai kunci huruf TQ (thank you)

-          hiasan tulisan ‘Assalamualaikum’ lekat pada dinding atau pintu

 
Siap paketkan dan tanda harga bagi memudahkan jualan. Semoga laris.
 
 


 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Buku Pilihan


Teks: Aishah Zainun
Foto: Aishah Zainun


Assalamualaikum.

Alhamdulillah hari ini jerebu sudah semakin kurang. Tak adalah risau sangat bila anak-anak ke sekolah. Dua hari sekolah ditutup disebabkan jerebu. Saya dan anak-anak mengisi masa dengan membaca buku. Selain daripada membaca buku-buku pelajaran dan menyiapkan buku latihan, majalah kanak-kanak seperti Ana Muslim dan Adik Sayang menjadi pilihan anak-anak saya. Saya pun mengambil kesempatan membaca buku. Benar Tapi Pelik, tajuk buku pilihan saya. Dulu saya tak suka membaca buku yang tajuknya ada pelik-pelik ni, sebab saya takut tak dapat terima kepelikan yang di ceritakan dalam buku tersebut. Cerita pelik yang tidak masuk akal dan akan menyebabkan saya terbayang-bayangkannya.

 
Kisah-kisah yang ada dalam buku ini dapat saya ceritakan semula kepada anak-anak saya. Salah satu kisah yang mereka suka ialah kisah bulan terbelah. Pernah dengar tak bulan terbelah? Mula-mula saya tengok tajuknya saya terfikir tak pernah pun dengar tentang bulan terbelah. Malah kisah ini adalah mukjizat nabi kita, Nabi Muhammad SAW. Jom saya ceritakan secara ringkas disini. 
 

Orang Musyrik telah mencabar Nabi SAW menunjukkan satu kehebatan yang dapat membuktikan kenabian Baginda. Lalu mereka menyuruh Nabi SAW membelah bulan. Nabi SAW berdoa kepada Allah SWT. Allah telah mewahyukan Baginda supaya menunjukkan jari telunjuknya kearah bulan. Sejurus itu terbelahlah bulan kepada dua bahagian, dan akhirnya bercantum kembali menjadi satu. Namun orang-orang Musyrik menuduh Nabi SAW sebagai seorang ahli sihir yang hebat. Tetapi golongan yang arif tentang sihir mengatakan sihir berfungsi terhadap sesiapa yang hampir dengannya sahaja tidak lebih dari itu. Lantas golongan Musyrik bergegas ke sempadan Kota Makkah dan bertanya kepada kenalan mereka yang baru pulang daripada bermusafir. Apabila ditanya tentang adakah mereka terlihat sesuatu yang ganjil terjadi kepada bulan. Mereka menjawab, “Ya! Semalam kami melihat bulan terbelah menjadi dua dan saling berpisah kepada dua bahagian dan kemudian bersatu kembali!”

 
Ya Allah,  hebatkan. Banyak lagi kisah-kisah yang benar tapi pelik yang kita tak pernah tahu. Kisah yang sangat menarik untuk dibaca dan diceritakan kepada anak-anak kita. Setiap kisah ada hikmah dan pengajaran yang disenaraikan di dalam  buku ini. Saya akan ceritakan kepada anak-anak saya dengan gaya bahasa saya sendiri dan guna perkataan-perkataan yang mudah difahami oleh kanak-kanak.


Benar Tapi Pelik yang dikarang oleh Doktor Haji Zahazan bin Mohamed dan diterbitkan oleh Telaga Biru. Sangat istimewa. Dapat menambah pengetahuan agama dan meningkatkan keimanan.
 
 
 
 
 
 
 
 
 








Minat Baru


Teks: Aishah Zainun
Foto: Aishah Zainun
 
Assalamualaikum Warahmatullahiwabarakatuh.

Macam mana bermulanya minat terhadap kraftangan felt. Macam ni mulanya.

“Ma jom buat kreatif”, ajak afifah anak perempuan saya. Bila cuti sekolah, kalau semua kerja sekolah dah siap, saya dan anak-anak suka buat sesuatu kreativiti bersama-sama. Saya rasa nak buat sesuatu yang lain dari kebiasaan. Gunting dan lekat, mewarna, menconteng, dan origami. Semua dah biasa buat. Saya pun cuba google ‘kreatif untuk kanak-kanak’. Keluar banyak tajuk tentang kreatif kanak-kanak. Ada tajuk ‘keativiti felt…’ saya klik dan baca sehingga membawa saya ke laman sesawang yang menjual kit diy felt.


Dengan bantuan suami saya pun memesan kit tersebut. Bermula dari sini saya jatuh hati dengan kreativiti yang menggunakan kain felt. Ada beberapa kelebihan kain felt yang saya suka. Diantaranya:
 
-kain felt tidak memerlukan jahitan tepi

-mudah dijahit

-kalau tak nak jahit, boleh digam menggunakan gam UHU

-mudah digunting mengikut bentuk yang kita suka

-warna yang sangat menarik

-sesuai untuk kanak-kanak

 

Anak perempuan saya pun boleh menjahit kain felt dengan mudah. Dia baru berusia 10 tahun. Kami selalu membuat kretiviti felt bersama. Berbagai bentuk rantai kunci yang telah kami hasilkan. Ada yang dihadiahkan kepada kawan-kawan dan guru-guru anak saya. Sempena hari lahir, hari guru, dan sebagai kenang-kenangan sebab  berpindah ke sekolah lain. 

Daripada sinilah bermulanya tempahan. Dan timbul idea untuk menjual kraftangan felt. Pada 19 haribulan September 2015, sekolah anak saya telah mengadakan ceramah agama sempena kedatangan Aidil Adha. Saya mengambil peluang ini untuk membuka gerai menjual kraftangan felt. Alhamdulillah walaupun keuntungan tidak seberapa tapi saya berjaya memperkenalkan kraftangan felt kepada yang datang ke gerai saya. Ramai yang berminat dan ingin membuat tempahan.

Kalau ada peluang saya ingin buka gerai lagi untuk menjual kraftangan felt ini. InSyaAllah.
 
 

Tuesday, October 6, 2015

Seronoknya Berniaga


Teks: Aishah Zainun
 
Assalamualaikum. 

Saya minat berniaga. Sehingga mendorong saya membuka gerai di sebuah masjid yang membenarkan orang berniaga diluar kawasan masjid. Setiap jumaat ada sahaja peniaga yang membuka gerai di masjid tersebut. Kebanyakannya adalah gerai makanan. Saya pula menjual produk kesihatan Hpa. Tapak gerai adalah percuma. Pada mulanya saya berasa malu kerana hari jumaat penuh dengan orang lelaki. Tetapi terdapat juga jemaah perempuan yang menunaikan solat jumaat.

 
Saya dibantu oleh adik perempuan saya. Masa tu anak bongsu saya baru berusia setahun lebih, jadi saya perlukan pembantu untuk memasang kanopi, membuka meja dan menyusun barang.

Saya mula berniaga pada pukul 11 pagi dan tamat pada pukul 2.30 petang. 3 jam sahaja. Keuntungan memang tidak menentu. Kadang dapat rm50.00, kadang  rm10 sahaja, adakalanya tak dapat apa-apa. Itulah namanya rezeki.
 

Lebih kurang setahun saya berniaga, adik saya dapat tawaran menyambung pelajaran ke MARA. Saya terpaksa berhenti berniaga kerana ketiadaan pembantu. Bukan senang nak pasang kanopi 10 x 10 kaki. Kalau nak buka meja dan susun barang tu boleh lah buat sendiri. Sedih juga bila tak dapat berniaga disitu lagi.

 
Saya telah mendapat beberapa orang pelanggan tetap hasil dari  membuka gerai tersebut. Sehingga kini ada yang sms saya untuk mendapatkan produk Hpa. Alhamdulillah.

Terpaksa Buat

Teks: Aishah Zainun

Assalamualaikum.
 

Alhamdulillah hari ini saya masih boleh menulis di blog ini. Walaupun papan kekunci komputer riba saya mengalami sedikit masalah. Terdapat huruf-huruf tertentu yang rosak  menyebabkan saya lambat untuk menyiapkan entri yang seterusnya. Saya akan cuba juga menulis setiap hari.


Kena kuatkan semangat untuk buat sesuatu. Masalah bukan halangan tapi cabaran yang mendorong kearah kejayaan. Teringat pada nasihat abang saya. Kita perlu memaksa diri kita buat supaya ia menjadi kebiasaan, bila kita tertinggal atau terlupa untuk buat sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan diri kita rasa tidak lengkap untuk hari itu.

 
Contohnya seperti solat lima waktu. Dulu masa kita kecil, kita diingatkan supaya solat setiap kali masuk waktu. Adakalanya kita rasa terpaksa solat. Lama kelamaan ia menjadi kebiasaan yang sangat manis. Sehingga jika kita tinggalkan solat, kita akan rasa hari kita tidak sempurna. Betul tak?

 
Mula-mula paksa lama-lama biasa. InSyaAllah.

Sunday, September 27, 2015

Aidil Adha dengan kek coklat cheese leleh


Entri 2
 
Salam Aidil adha

Pagi yang indah. Hari raya Aidil Adha. Kawasan taman perumahan sunyi kerana semua jiran telah pulang ke kampung masing-masing. Saya dan keluarga juga telah bersiap sedia untuk balik ke kampung.

Pada mulanya kami merancang untuk bersolat sunat hari raya di kampung, tetapi dalam perjalanan terdengar jemaah sebuah masjid telah mula bersolat. Tanpa berlengah kami pun berhenti dan menunaikan solat di masjid berkenaan.

Sambung semula perjalanan. Sepatutnya 40 minit perjalanan dah boleh sampai. Kita  merancang, tapi Allah sebaik-baik perancang.

Sampai di pertengahan jalan ke kampung, adik saya wassap “kak kami semua ada kat rumah bican.” Suami pun terus masuk ke simpang rumah abang saya.

Bukan lemang atau rendang yang menjadi hidangan tapi, laksa dan kek coklat.

“Wow..dah siap laksa dan kek coklat cheese.” teruja anak saya dengan seronoknya.

Semua keluarga berkumpul di rumah abang saya. Sambil makan, sambil bersembang. Ada saja yang menjadi topik perbualan. Bila dah lama tidak bersua pasti gamat suasana. Selamat menjamu selera di aidil adha.

Kepada yang berminat untuk membuat tempahan sila hubungi no ini:
(Sms atau wassap) : 0135149616



Kek Coklat Cheese Leleh
Kek Pandan Cheese Leleh
    



 


 

  
 
  
 

 


Friday, September 25, 2015

Penenalan Diri



Teks: Aishah Zainun

Assalamualaikum. Salam perkenalan.

Alhamdulillah dengan nama Allah saya mula menulis blog ini.

Nama saya Aishah binti Zainun berasal dari Kuala Kangsar Perak. Bersekolah rendah dan menengah di Kuala Kangsar. Selepas tamat SPM, saya melanjutkan pengajian di kolej Informatics dalam bidang komputer.

Sementara mencari kerja yang bersesuaian dengan sijil saya. Saya mengajar di sebuah sekolah rendah sebagai guru ganti bagi guru bersalin. Saya juga pernah mengajar asas komputer iaitu Microsoft Word, Excel dan Powerpoint sambil menjaga CyberCafe. Ini adalah pengalaman sebelum berkahwin, bila sudah mendirikan rumahtangga saya tidak bekerja.

Disebabkan saya tidak bekerja saya terdorong untuk mencuba perniagaan jualan langsung yang diperkenalkan oleh abang ipar saya. Ada beberapa jenis jualan langsung yang saya cuba tetapi akhirnya saya cuma menjadi pengguna sahaja kerana komitmen terhadap keluarga. Saya suka mempromosi produk yang saya dah cuba guna pakai kepada kawan-kawan. Sehingga hari ini saya masih memperkenalkan produk-produk tersebut. Diantaranya produk kesihatan HPA seperti radix. InSyaAllah saya akan berkongsi kebaikan radix diblog ini.

Selain itu saya juga baru sahaja berjinak-jinak dengan kraftangan felt. Kain felt yang berwarna warni ditambah dengan aksesori butang pelbagai bentuk dan warna yang terang seperti memberi aura terapi minda. Setakat ini saya telah menjual kraftangan felt seperti keychain, sepit rambut dan penanda buku.

Saya minat membaca novel atau majalah yang berunsurkan hiasan dalaman, resepi-resepi mudah dan ringkas, dan kraftangan. Daripada bahan bacaan ini saya cuba aplikasikan dalam kehidupan harian, terutama dalam bidang masakan. Memang satu cabaran bagi saya yang mempunyai anak berumur antara dua tahun ke tiga belas tahun. Melayan karenah selera 6 orang anak yang berbeza-beza setiap hari mendorong saya mencari resepi yang sedap, mudah dan ringkas. Saya juga akan membaca majalah kanak-kanak seperti Aulad, Adik Sayang dan Ana Muslim. Bahan bacaan saya banyak membantu saya mendidik anak-anak mengikut peringkat umur. Saya adalah seperti kata Dato’ Doktor Johari Mat dalam ebook asas menulis blog.

“Kalau seorang ibu mempunyai enam orang anak, hakikatnya dia ibarat seorang guru yang mengajar enam buah kelas. Ini kerana setiap anak tidak sama serta memerlukan pendekatan yang berbeza dalam mendidik  mereka.” memetik kata-kata Dato’ Doktor Johari Mat.

Dengan menyertai kumpulan sokongan Akademi Berkerja Dari Rumah (ABDR) ini saya berharap dapat menimba ilmu internet, perniagaan online, cara penulisan blog yang betul dan sesuai dengan minat dan perniagaan yang bakal saya ceburi.

Semoga dengan tulisan dan coretan yang tidak seberapa di blog ini dapat memberi inspirasi kepada saya dan pembaca.